Monday, July 28, 2008

Kepentingan Bertalaqqi Kitab Suci Al Quran



Talaqqi bermaksud menerima sesuatu daripada pihak yang memberi.Dalam konteks pengajian ilmu secara umum, talaqqi merupakan salah satu wasilah yang penting bagi menyampai dan mengembangkan ilmu pengetahuan.

Talaqqi jika dikaitkan dengan pengajian Al Quran bermakna menerima tunjuk ajar daripada guru yang juga bertalaqqi dengan gurunya dalam segala segi dan cabang pengajian Al Quran.Khususnya dalam bidang pembacaan Al Quran yang mementingkan ketepatan dalam penuturan,sebutan,makhraj huruf dan sifat bagi huruf.Oleh itu,hanya dengan bertalaqqi sahaja kita mampu menguasainya.




Talaqqi dan musyafahah melibatkan proses:

(السماع من لفظ الشيخ (التلقين/ الإقراء) والقراءة عليه (العرض)
Kedua-dua proses ini mengikut pendapat ulama mutaqaddimin mesti dilakukan bagi memastikan kesahihan satu-satu bacaan.Walaubagaimana pun,ulama mutaakhirin berpendapat bahawa memadai membaca di hadapan guru dan guru mendengar sambil memperbetulkan bacaan murid memandangkan ia lebih penting kerana tidak semua orang yang mendengar mampu mengikut atau meniru bacaan guru.Walaupun begitu,melakukan kedua-duanya sekali adalah terlebih afdhal.

Secara ringkasnya, talaqqi Al Quran terlalu penting kerana:
1) Ia adalah sunnah Sayyidina Rasulullah SAW.Baginda bertalaqqi Al-Quran dengan Malaikat Jibril A.S dan mengkhatamkannya sekali setiap bulan Ramadhan dan dua kali pada tahun terakhir sebelum kewafatan Baginda SAW.

قال الله: وإنك لتلقى القرءان من لدن حكيم عليم


2) Para sahabat juga turut bertalaqqi dengan Sayyidina Rasulullah SAW dan para tabi’in juga bertalaqqi dengan para sahabat dan seterusnya sehingga memungkinkannya menjadi salah satu asbab terpeliharanya kitab suci Al Quran Al Karim.

3) Talaqqi merupakan satu-satunya cara Al Quran dipindahkan dan diriwayatkan (كيفيات التحمل) dan tidak sah dengan cara yang lain,berbanding dengan Al Hadith.

4) Ketepatan dalam sebutan dan pembacaan Al Quran hanya boleh dikuasai dengan bertalaqqi.Contohnya dalam menentukan qadar mad,sebutan huruf, bacaan Isymam,raum,imalah,tashil dan sebagainya yang tidak mungkin diketahui dengan hanya membaca atau mempelajari ilmu tajwid secara teori tanpa tunjuk ajar secara amali atau praktikal oleh guru.

Kesimpulannya, talaqqi sangat penting dalam pembacaan Al-Quran dan tidak boleh dipandang ringan oleh sesiapa walau setinggi mana pun ilmunya kerana peranannya dalam memastikan hak kalamullah sentiasa tertunai dan terpelihara.Jika perkara ini dipandang remeh oleh masyarakat Islam di masa kini,maka kelebihan dan keberkatan Al Quran yang menjadi mukjizat bagi Rasulullah SAW dan panduan bagi umat manusia tidak akan mengalir dalam masyarakat kita,ini kerana masyarakat semakin lama semakin buta Al Quran dan meninggalkan bacaan Al Quran itu sendiri,jadi marilah kita bersama sama menaikkan syiar Al Quran yang telah disisih oleh setengah masyarakat Islam kini...Ya Allah,golongkanlah kami di kalangan mereka Ahlul Quran dan berkatilah hidup kami di dunia dan akhirat dengan berkatnya Al Quran dan syafaatkan kami dengan syafaat Al Quran,Amin Ya Allah....

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : خيركم من تعلم القرءان وعلمه

Sunday, July 27, 2008

Keajaiban Al Quran




Kebesaran AL-QUR’AN sebagai satu mukjizat Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut berita yang diterima,di dalam rumah seorang muslim bernama En. Md. Farooq, penduduk Tappachabutra, Hyderabad, Anai-anai telah memakan sebuah AL-QURAN yg berusia 100 tahun. Keseluruhan kulit naskah Al-Qur’an dan kotak yang melindungi AL Quran tersebut telah ROSAK / HAMPIR MUSNAH kerana dimakan oleh anai-anai termasuklah terjemahan al-Quran tersebut didalam bahasa Urdu.

Apa yang menakjubkan ialah anai-anai tersebut lansung tidak menyentuh huruf-huruf asal al-Quran yang ditulis dalam bahasa Arab. Subhanallah...

Tuesday, July 22, 2008

Cinta Sejagat



Setiap yang menyinta pasti mencari yang dicintainya. Apabila cinta Allah menembusi hatimu, sudah tentu Allah menyintaimu. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Allah dengan KebijaksanaanNya mentakdirkan kita cinta antara satu dengan lain. Kerana itulah setiap apa jua dalam alam ini ada pasangannya. Pada pandangan orang yang Arifbillah, langit itu lelaki dan bumi itu perempuan.

Bumi menerima apa sahaja yang dijatuhi oleh langit. Apabila bumi kurang panas, langit berikan panas. Apabila bumi kurang basah, langit berikan hujan.

Langit bertugas pada pusingannya seperti suami mencari rezeki isterinya. Bumi sibuk dengan tugas melahir dan memelihara kandungannya. bumi dan langit dikurnia akan kerana mereka membuat kerja makhluk yang berakal. Sekiranya mereka tidak merasai nikmat antara satu dengan lain, kenapa mereka berkasihan seperti orang yang bercinta.

Tanpa bumi, bagaimana pokok dan bunga berkembang. Apa guna langit menurunkan air dan panas? Sebagaimana Allah mengurniakan keinginan antara lelaki dan perempuan supaya dunia dapat terpelihara oleh perpaduan antara mereka, begitu jugalah Dia tanamkan dalam setiap bahagian wujud ini keinginan satu bahagian dengan satu bahagian yang lain.

Malam dan siang pada zahirnya nampak bermusuhan, tetapi sebenarnya keduanya saling memerlukan..timbulnya bulan di waktu malam manakala terbitnya matahari di hening pagi...

Badan perlu tumbuh-tumbuhan dan air kerana asalnya dari tanah dan air. Jiwa perlu hidup dan Yang Menghidupkan kerena asalnya dari Jiwa Semesta.

Kehendak jiwa ialah Ketingggian dan Kesucian. Kehendak badan ialah untuk hawa nafsu yang rendah. Kesucian memerlukan dan menyintai jiwa.

Apabila seseorang itu mencari, ruh yang dicari itu memerlukannya, tetapi diri yang menyinta menjadikan ianya lesu. Sementara diri yang dicintai menjadikan ianya senang dan gembira.

Cinta memberi sinaran kepada pipi yang dicintai. Cinta menelan jiwa yang menyintai.

Dipetik dari Kitab Mathnawi karya Syeikh Jalaluddin Rumi.

Setiap apa yang dijadikan Allah Taala itu berpasangan dan saling memerlukan,dicipta bagi kita akan dunia,dijadikan pula kita akan akhirat...Dan sebaik2 cinta adalah terhadap Allah Taala dan seindah indah kasih adalah kasih akan Sayyidina Rasulullah SAW...Maka Allah memberkati anda dengan Kemanisan CintaNya.

Thursday, July 17, 2008

Peranan anak kepada ibu bapa

Cerita ini mengisahkan, seorang ibu tua dibawa oleh anak lelakinya yang tinggal di bandar menziarahi ahli keluarga di sebuah kampung.

Sekembali dari tempat ziarah, si ibu kelihatan terkocoh-kocoh, pantas berlari keluar dari kereta. Langkahnya agak tergopoh-gopoh menaiki anak tangga rumah. Fikir si anak yang masih belum sempat menarik handbrake keretanya, pasti si ibu bergegas untuk segera menunaikan solat Maghrib kerana azan telah berkumandang di surau yang berdekatan. Tapi bila dia mula menjejaki anak tangga, "Subhanallah!" si anak terkejut melihat najis bejejeran di anak tangga dan dilaman rumah. "Mak sakit perut rupanya," bisik hatinya. Tanpa berlengah segera disinsingnya lengan baju dan kaki seluar. Najis disodok dan dibuangkan. Getah paip ditarik lalu dialirkan air menuruni anak tangga. Ibu yang sudah selesai membersihkan diri dan solat Maghrib terkocoh-kocoh sekali lagi menanggalkan telekung, mencapai baldi dan gayung dalam langkah yang terhencut-hencut cuba menuruni anak tangga. Terpana si ibu di muka pintu melihat anak-anak tangga sudah dimop bersih, seperti hilang akal sejenak.

"Tak sembahyang Maghrib ke?" Tanya ibu kepada si anak dalam keadaan serba-salah. "Tak apalah mak, saya musafir, Maghrib tu di jamak takhir dengan Isyak nanti." Si ibu tak terkata apa. Tangan kanan masih memegang baldi. Tangan kiri pula memaut grill pintu. Matanya terus memerhatikan si anak, dalam hati penuh sebak dan keharuan, mengucap puji syukur pada Allah kerana anak yang diasuh sebesar dua tapak jari, dicucikan najisnya setiap hari itu, buat pertama kalinya menyucikan najis ibunya pula hari ini. "Ya Allah! begini mulia rahmatmu mengurniakan hamba mu ini anak yang soleh, dia mengenang jasa Ya Allah! dan membalas budi, aku bersyukur padamu.... aku bersyukur pada mu Ya Allah!" sempat si ibu memanjatkan doa dalam hati. Terasa benar maruahnya dihargai, tawadhuk sungguh mengecapi nikmat kasih....... Rentetan dari peristiwa itu, dapat dilihat keberkatan dalam hidup si anak kerana apa saja kerja yang dibuat terasa dipermudahkan oleh Allah. Inilah yang dikatakan keberkatan memuliakan insan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Hadis Nabi saw : "Hinalah umatku, hinalah umatku, dimana dalam sisa usia orang tua mereka, tidak dimanfaatkan apa-apa untuk meraih rahmat dari Allah SWT"