Tuesday, June 17, 2008

kegembiraan bagi orang yang beriman


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa mati dalam keadaan itu (percaya dan berikrar dengan dua kalimah syahadah), mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan berpuasa di bulan Ramadhan, dia bersama dengan nabi-nabi, siddiqin dan syuhada' pada hari qiamat nanti dalam keadaan begini...(sambil menunjukkan dua jarinya yang didempekkan, menjelaskan hampirnya hubungan orang yang berkenaan dengan mereka itu) selagi dia tidak mendurhakai kedua ibu bapanya".

Jika dia mendurhakai kedua ibu bapanya dia tidak mencapai martabat ini. Jika berbuat demikian dia mesti minta ampun dengan kedua ibu bapanya.

Jika kedua ibu bapanya meninggal dunia, dia mesti beristighfar untuk kedua ibu bapanya dan berbuat baik dengan kawan-kawan mereka.

At-Tirmizi meriwayatkan dari Abu Said, Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Peniaga yang benar dan amanah bersama-sama dengan nabi-nabi, siddiqin dan syuhada' pada hari qiamat."

Ini adalah kelebihan dan pahala yang diberikan kepada peniaga yang jujur dalam perniagaannya. Bukan bererti peniaga yang jujur menanggung kerugian. Mereka juga memperolehi keuntungan bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat kelak.

Disebut di dalam kitab-kitab hadith bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya oleh seorang sahabat.

Bagaimanakah kelebihan diperolehi jika seseorang itu kasih kepada sesuatu kaum, padahal dia tidak pernah berjumpa dengannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Seseorang itu bersama dengan orang yang dia kasih."

Jika kasihnya ditumpahkan kepada orang yang jahat, syaitan, dan taghut ia bersama dengan mereka dan begitulah sebaliknya jika dia kasih kepada Rasulullah s.a.w. dan pengikutnya dia akan bersama dengan mereka.

Allah menyebut di dalam al-Quran dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Terdapat di kalangan manusia orang-orang yang mengadakan tuhan-tuhan yang lain dari Allah dan kasih kepada tuhan-tuhan itu sebagaimana dia kasih kepada Allah. Dan orang-orang yang beriman itu sangat kasih kepada Allah."

(Surah al-Baqarah: 165)

Apabila disebut hadith yang bermaksud:

"Seseorang itu bersama dengan orang yang dikasihi," Anas bin Malik berkata hadith ini menggembirakan orang-orang yang beriman.

No comments: