Friday, December 5, 2008

Naluri kasih tertumpu kepada Allah dan RasulNya

PERASAAN kasih terhadap Nabi s.a.w. yang tumbuh di hati para sahabat khususnya dari kalangan Ansar, merupakan asas yang kukuh untuk melahirkan generasi yang sanggup berkorban apa saja demi orang yang dikasihi. Islam mengajar supaya naluri kasih itu ditumpukan kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya melahirkan sifat patuh dan taat yang tidak berbelah bagi terhadap Islam.

Sesungguhnya sayang kepada Nabi s.a.w. itu menjadi tapak bagi seseorang itu mentaatinya dan menjadi pendorong untuk menuruti sunnahnya. Kurangnya rasa kasih terhadap Nabi s.a.w. akan mengakibatkan kekosongan dalam hati manusia terisi dengan kasih kepada perkara-perkara yang lain, seperti cinta harta benda dunia atau lain-lain yang seumpamanya. Sedangkan apabila seseorang itu mati, maka seluruh harta kepunyaannya akan ditinggalkan dan diwarisi orang lain. Kecuali harta yang disalurkan ke jalan akhirat akan memberi manfaat di akhirat.



Tanpa kasih yang mendalam kepada Nabi s.a.w., manusia tidak mungkin menyediakan diri untuk keselamatan akhirat, kerana yang mengajar tentang akhirat ialah Nabi s.a.w.. Bagindalah yang mengajar bagaimana hendak menjadikan harta dunia bermanfaat di akhirat, seperti menggunakan harta untuk membangun dan mempertahankan agama Allah, membantu orang-orang yang susah dan menolong pihak yang memerlukan, memberi nafkah keluarga dan sebagainya. Tanpa mendapat panduan dari Nabi s.a.w., nescaya harta dunia akan menjadi beban di akhirat dan menyukarkan pemiliknya.



Hidup di akhirat bergantung sepenuhnya di atas kerja amal yang dilakukan dalam kehidupan di dunia. Bahagia atau sengsara yang akan ditempuh di akhirat, adalah natijah dari amal perbuatan semasa di dunia. Sama ada kerja amal kita bersesuaian dengan kehendak Nabi s.a.w., ibadat dan muamalah kita seperti yang ditunjukkan oleh Nabi, begitu juga pergaulan kita dalam masyarakat menepati seperti yang diajar oleh Nabi. Seterusnya kebersihan hati dan fikrah selaras dengan bimbingan Nabi s.a.w.. Sayang kepada Nabi akan mendorong hati kecil seseorang itu merasa gelisah sekiranya amal ibadatnya tidak menepati panduan yang diberi oleh Nabi s.a.w..

Sesungguhnya akan tersesat jauh sesuatu kaum itu sekiranya mereka menganggap bahawa kasihkan Nabi itu hanya sekadar patuh secara 'pak turut' sahaja. Menjadi pak turut secara zahir sedangkan hati tidak kasih kepada orang yang dituruti, keadaan ini hanya ibarat sampan yang hanyut tanpa tujuan. Ketaatan secara fizikal hanya akan bernilai sekiranya di dorong oleh rasa kasih yang mendalam, tanpa kasih sayang di hati, sekadar patuh kepada arahan pasti tidak melahirkan keikhlasan yang sebenar. Sedangkan tiada perintah dari Allah SWT yang amat berharga, kecuali ia dilaksanakan secara yang amat ikhlas terhadap Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:

"Pada hal mereka tidak di suruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan (ikhlas) kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus..."

(Surah al-Baiyyinah ayat 5).

Allah SWT telah menggariskan bahawa manusia bukan sekadar mengabdikan diri (turut perintah) sahaja, sebaliknya kepatuhan itu hendaklah berasaskan kemurnian hati iaitu ikhlas kerana-Nya. Keikhlasan hanya terbit dari lubuk hati yang benar-benar kasih kepada Allah SWT dan Nabi-Nya Muhammad s.a.w.. Ini tidaklah bererti mengikut sunnah Nabi itu sekadar dengan hati yang kasih sahaja, sebaliknya hendaklah dilaksanakan serentak antara perbuatan dan kemurnian hati.

Nabi Muhammad s.a.w. telah meletakkan ukuran beriman kepada Allah SWT ialah sama ada penuh atau tidak di hati seseorang itu rasa kasih sayangnya terhadap Nabi s.a.w.. Allah SWT jadikan hati manusia bukan untuk menyayangi sesuatu yang tiada kaitan dengan Allah SWT dan Rasul-Nya. Bagaimanapun naluri manusia agak sukar untuk menghindari dari menyayangi perkara yang disukainya seperti harta dunia dan keluarga. Tetapi sayugia diambil ingatan, janganlah sampai hati yang ibarat gelas, hanya dipenuhi dengan sesuatu, sehingga tiada ruang untuk menempatkan rasa kasih kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Seboleh-bolehnya hati hendaklah diisi dengan kasih kepada Allah SWT, sama ada dalam urusan mencari harta atau lain-lain kepentingan duniawi. Kalau mencari harta, hendaklah dengan niat untuk membuat kebajikan seperti untuk membantu orang-orang miskin dan memerlukan pertolongan. Untuk menegakkan agama Allah dan seumpamanya. Yang demikian itu menunjukkan peranan kasihkan Allah dan Rasul-Nya sebagai asas dan pendorong untuk mencari harta atau pangkat kedudukan.

Orang yang hatinya dipenuhi dengan cintakan harta dunia, tidak mungkin terdorong hatinya untuk membantu orang-orang yang susah, malah untuk mengeluarkan zakatpun terlalu berat, lantaran cintanya pada harta mengatasi cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Sesungguhnya kasih kepada Nabi s.a.w. itu mesti datang dari emosi yang tidak berbelah bagi, dengan emosi itu mereka akan mempertahankan kedudukan Nabi sebagai pembawa kebenaran. Dengan emosi itu mereka sanggup melakukan apa saja untuk membuktikan kasih sayangnya, sedia untuk mati jika Nabi s.a.w. diperkecilkan oleh pihak lain.

Adapun gambaran yang dapat dilihat sewaktu Nabi s.a.w. menjadi tamu di rumah seorang sahabat bernama Abu Ayub Al-Anshari, adalah amat jelas bahawa cara Abu Ayub memuliakan Nabi s.a.w. itu benar-benar berasaskan rasa kasih sayang yang sangat mendalam terhadap tetamu agungnya itu. Abu Ayub dan keluarganya berusaha untuk 'bertabarruq' dari bekas dan sisa makanan Nabi s.a.w., adalah suatu tindakan yang diiktiraf oleh baginda. Abu Ayub dan lain-lain sahabat yang bertabarruq dari kesan-kesan Nabi s.a.w., adalah suatu gambaran jelas tentang kasih sayang mereka terhadap Nabi dan Rasul Allah itu.

Imam Bukhari dan Imam Muslim telah menyebut banyak riwayat dalam kitab masing-masing yang menceritakan tentang para sahabat bertabarruq melalui atsar Nabi s.a.w., untuk membuat penawar ataupun mendapat perhatian dan taufiq dari Allah SWT. Di dalam Sahih Bukhari dalam 'Bab al-Libas' (bab mengenai pakaian), ada menceritakan tentang rambut Nabi s.a.w..

Seorang isteri Nabi bernama Ummu Salamah telah menyimpan beberapa helai rambut Nabi yang gugur ke dalam botol. Apabila ada jiran tetangga yang sakit, lalu Ummu Salamah memberikan air yang telah di rendam rambut Nabi ke dalamnya, lalu diminum oleh orang yang sakit itu dengan tujuan untuk ubat dan mengambil berkat. Satu peristiwa yang telah dicatatkan dalam siri terdahulu mengenai Ummu Sulaim mengambil peluh Nabi yang mengalir pada hamparan yang dibuat dari kulit. Ummu Sulaim berkata kepada Rasulullah bahawa beliau mengambil peluh Nabi s.a.w. itu dengan tujuan mendapatkan berkat untuk anak-anak kecilnya. Selain itu peristiwa para sahabat berebut titisan air wudhuk Nabi s.a.w.. Banyak lagi hadith Nabi yang menceritakan tentang para sahabat mengambil berkat dari kesan-kesan fizikal Nabi s.a.w. Semua tindakan para sahabat itu mendapat restu dari Nabi s.a.w. sendiri.

Jika bertabarruq dengan kesan-kesan benda seperti yang dinyatakan itu diakui betul dan diiktiraf oleh Nabi s.a.w., maka dapatlah dibayangkan bagaimana pula jika seseorang itu mengambil berkat dari perbuatannya mengikut perintah dan patuh segala ajaran Nabi s.a.w..

1 comment:

kamitaken a.k.a Lutfi Lokman said...

parop.. pekoba? mung diam2 gitu jer owk wat blog. gi singgoh di blog aku tuh, bubuh link dinung. senang aku nak add kekgi..