Monday, July 28, 2008

Kepentingan Bertalaqqi Kitab Suci Al Quran



Talaqqi bermaksud menerima sesuatu daripada pihak yang memberi.Dalam konteks pengajian ilmu secara umum, talaqqi merupakan salah satu wasilah yang penting bagi menyampai dan mengembangkan ilmu pengetahuan.

Talaqqi jika dikaitkan dengan pengajian Al Quran bermakna menerima tunjuk ajar daripada guru yang juga bertalaqqi dengan gurunya dalam segala segi dan cabang pengajian Al Quran.Khususnya dalam bidang pembacaan Al Quran yang mementingkan ketepatan dalam penuturan,sebutan,makhraj huruf dan sifat bagi huruf.Oleh itu,hanya dengan bertalaqqi sahaja kita mampu menguasainya.




Talaqqi dan musyafahah melibatkan proses:

(السماع من لفظ الشيخ (التلقين/ الإقراء) والقراءة عليه (العرض)
Kedua-dua proses ini mengikut pendapat ulama mutaqaddimin mesti dilakukan bagi memastikan kesahihan satu-satu bacaan.Walaubagaimana pun,ulama mutaakhirin berpendapat bahawa memadai membaca di hadapan guru dan guru mendengar sambil memperbetulkan bacaan murid memandangkan ia lebih penting kerana tidak semua orang yang mendengar mampu mengikut atau meniru bacaan guru.Walaupun begitu,melakukan kedua-duanya sekali adalah terlebih afdhal.

Secara ringkasnya, talaqqi Al Quran terlalu penting kerana:
1) Ia adalah sunnah Sayyidina Rasulullah SAW.Baginda bertalaqqi Al-Quran dengan Malaikat Jibril A.S dan mengkhatamkannya sekali setiap bulan Ramadhan dan dua kali pada tahun terakhir sebelum kewafatan Baginda SAW.

قال الله: وإنك لتلقى القرءان من لدن حكيم عليم


2) Para sahabat juga turut bertalaqqi dengan Sayyidina Rasulullah SAW dan para tabi’in juga bertalaqqi dengan para sahabat dan seterusnya sehingga memungkinkannya menjadi salah satu asbab terpeliharanya kitab suci Al Quran Al Karim.

3) Talaqqi merupakan satu-satunya cara Al Quran dipindahkan dan diriwayatkan (كيفيات التحمل) dan tidak sah dengan cara yang lain,berbanding dengan Al Hadith.

4) Ketepatan dalam sebutan dan pembacaan Al Quran hanya boleh dikuasai dengan bertalaqqi.Contohnya dalam menentukan qadar mad,sebutan huruf, bacaan Isymam,raum,imalah,tashil dan sebagainya yang tidak mungkin diketahui dengan hanya membaca atau mempelajari ilmu tajwid secara teori tanpa tunjuk ajar secara amali atau praktikal oleh guru.

Kesimpulannya, talaqqi sangat penting dalam pembacaan Al-Quran dan tidak boleh dipandang ringan oleh sesiapa walau setinggi mana pun ilmunya kerana peranannya dalam memastikan hak kalamullah sentiasa tertunai dan terpelihara.Jika perkara ini dipandang remeh oleh masyarakat Islam di masa kini,maka kelebihan dan keberkatan Al Quran yang menjadi mukjizat bagi Rasulullah SAW dan panduan bagi umat manusia tidak akan mengalir dalam masyarakat kita,ini kerana masyarakat semakin lama semakin buta Al Quran dan meninggalkan bacaan Al Quran itu sendiri,jadi marilah kita bersama sama menaikkan syiar Al Quran yang telah disisih oleh setengah masyarakat Islam kini...Ya Allah,golongkanlah kami di kalangan mereka Ahlul Quran dan berkatilah hidup kami di dunia dan akhirat dengan berkatnya Al Quran dan syafaatkan kami dengan syafaat Al Quran,Amin Ya Allah....

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : خيركم من تعلم القرءان وعلمه

No comments: